July 13, 2012

Pengajaran Kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia #6: Iktibar Sejarah Andalusia

Iktibar Sejarah Andalusia: Teladan Dan Sempadan

Jika diteliti dari sudut perkembangan dan kemajuan Islam di Andalusia, jelas menunjukkan bahawa pemerintahan Islam telah mementingkan kemajuan intelektual dan  keilmuan, disamping perkembangan industri dan pertanian.

Namun, disebabkan beberapa masalah dalaman yang berlaku, pemerintahan Islam akhirnya tidak dapat bertahan dan terpaksa menyerahkan penguasaan mereka selama hampir  8 abad itu kembali kepada Kristian. 

Antara punca yang dilihat melemahkan umat Islam ketika itu dan boleh dijadikan iktibar kini ialah:

1)   Perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin yang mentadbir wilayah. Ini dapat dilihat pada peringkat  

           Awal pemerintahan Andalusia di mana para pemimpin sering berselisih dalam hal ehwal pentadbiran. Gangguan dari dalam ini telah menyebabkan ketidakseimbangan berlaku. Pergolakan itu berupa perselisihan di antara penguasa elit, terutama akibat  perbezaan  ras dan etnik. Disamping itu, terdapat perbezaan pandangan antara khalifah di Damsyik dan gabenor Afrika Utara yang berpusat di Qairawan. Masing–masing mengaku bahawa merekalah yang paling  berhak menguasai  Andalusia ini. Oleh kerana itu, tidak hairanlah penggantian pemerintah atau wali (gabenor) berlaku lebih daripada dua puluh kali dalam jangka waktu yang amat singkat. Perbezaan pandangan politik itu menyebabkan seringnya terjadi perang saudara sesama mereka lalu merencatkan pembangunan tamadun umat di sana.

2)  Tidak mempunyai sifat ketaatan kepada kepimpinan sehingga mereka tidak mahu mengikut nasihat khalifah. Akhirnya, anasir-anasir tidak puas hati itu membawa kepada perancangan untuk merampas kekuasaan dalam kalangan umat Islam, sedihnya dengan melibatkan kerjasama dengan pihak musuh.

3) Wujudnya golongan yang ingin menghancurkan mereka dari dalam seperti golongan yang ingin bekerjasama dengan musuh tanpa mengambil kira untuk memperkuatkan ikatan dalaman sesama mereka.

Manakala kejayaan mereka yang boleh  dijadikan iktibar ialah;

1) Andalusia telah membuka ruang untuk memastikan supaya sekiranya kita ingin sentiasa maju ke hadapan , kita harus bersikap terbuka kepada pemikiran-pemikiran  kreatif  dan idea-idea yang inovatif. Mereka telah mencapai kejayaan dari segi sains dan teknologi  kerana mereka menggalakkan suasana  intelek dan tidak rigid dengan kemasukan ilmu-ilmu moden.

2) Kecemerlangan Andalusia dalam bidang pertanian dan industri  memungkinkan kita untuk mempertingkatkan kemajuan dalam bidang ini dengan bantuan teknologi maklumat , dan  mengambil nikmat bioteknologi untuk dikembangkan dalam sektor ini agar pertanian dan industri lain tidak lagi dipandang enteng.

3) Lahirnya ilmuan seperti  Ibn Bajjah (1082-1138M), Ibn Zuhr (1091-1162M) dan lain-lain menuntut kita melahirkan cendekiawan Muslim yang versatile , mahir dari segi ilmu turath dan juga ilmu moden yang mampu untuk meninggalkan jejaknya yang tersendiri di dunia ini. Generasi ilmuwan moden ini harus dibina jati diri mantap agar member manfaat kepada pembangunan negara.

4)  Ketamadunan yang dibina telah meninggikan Eropah yang pada waktu tersebut berada pada zaman kegelapan. Bandar Cordova di  Andalusia dilihat sebagai Bandar yang terulung dalam kalangan Negara-negara Eropah yang lain dan  mereka telah memajukan intelektualisme dari aspek falsafah , seni bina, matematik , teologi, perubatan dan banyak lagi sehingga Islam digambarkan begitu ke hadapan dalam soal ini. Mereka dapat me-asimilisasi-kan  Islam dengan falsafah dan pusat kecemerlangan Greek sehingga ia menyumbang kepada pembangunan keseluruhan negara Barat yang di dominasi kaum Kristian.

5) Kejayaan mereka membina tamadun dalam keadaan mereka mempunyai kepelbagaian bangsa dan penganut agama samawi juga sesuatu yang unik. Sudah pasti ia ada kaitan dengan kefahaman terhadap ajaran Islam yang dipraktikkan dalam bentuk siyasi. Rujukan tentunya terhadap contoh-contoh awal yang ditunjukkan oleh khalifah  Islam dalam memberi dan menjamin hak asasi setiap penganut agama yang mana mereka boleh hidup aman damai di bawah pemerintahan Islam. Contoh –contoh jaminan ini terus dilaksanakan sehingga ke wilayah pemerintahan Andalusia. Oleh sebab itu, kita dapat menyaksikan sejarah di mana umat Islam, Kristian dan Yahudi saling membantu mewujudkan suasana keilmuan yang baik terutama di Cordova. Ini kelihatan begitu relevan dengan negara kita sekarang yang mempunyai kepelbagaian latar bangsa dan penganut agama. Oleh itu, demi mencapai puncak kemajuan , kerjasama antara kaum ini harus diberi tumpuan yang wajar bagi meningkatkan kerjasama dan kefahaman dalam kalangan rakyat yang ada.



TAMAT

No comments :

Post a Comment